TEMERLOH, 9 JUN 2024 : Kerajaan Pahang berhasrat untuk menganjurkan lebih banyak acara pelancongan bertaraf nasional dan antarabangsa bagi membuka ruang tarikan kepada pelancongan di negeri ini.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man berkata, bagi menjayakan hasrat itu, pihak Kerajaan Tempatan haruslah bekerjasama bagi membantu dan menyokong pelaksanaan acara yang lebih berprestij sekaligus dapat menaikkan nama Negeri Pahang dalam sektor pelancongan.
“Kita berharap bahawa lebih banyak festival bertaraf antarabangsa atau pun peringkat nasional dapat diadakan di Negeri Pahang dan pada masa yang sama terima kasih kepada Majlis Perbandaran Temerloh kerana telah memberikan sokongan yang begitu kuat, sekiranya setiap Kerajaan Tempatan dapat membantu sebenarnya ia dapat menaikkan nama sesebuah negeri itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada Majlis Perasmian Festival Makanan Tradisional Homestay Malaysia Tahun 2024 di Esplanade 1, Temerloh.
Hadir sama ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh, Encik Surih Mihat, Presiden Persatuan Homestay Malaysia, Dato’ Sahariman Hamdan dan Presiden Homestay dan Agro Tourism Vietnam, Nguyen Van My.
Festival anjuran Persatuan Homestay Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Malaysia, Tourism Pahang dan Majlis Perbandaran Temerloh itu berlangsung pada 7 hingga 11 Jun ini membabitkan dua lokasi iaitu Kampungstay Desa Murni dan Esplanade 1 di Temerloh.
Acara ini berjaya melibatkan sebanyak 467 peserta homestay seluruh negara dan antarabangsa seperti Vietnam, Jepun dan Indonesia sempena festival itu yang turut disertai seramai 32 peserta membabitkan 18 peserta dari Negeri Pahang, 11 peserta dalam negara dan tiga peserta antarabangsa.
Peserta luar negara kali ini membabitkan Negara Jepun, Vietnam dan Indonesia yang mengetengahkan keunikan makanan tradisional masing-masing.
Menurut YB. Cik Leong Yu Man, penganjuran festival ini dapat mempromosikan dan memperkenalkan keistimewaan makanan-makanan warisan kulinari bukan sahaja dalam Negeri Pahang tetapi di seluruh negeri di Malaysia dan antarabangsa.
“Ini adalah satu peluang bagi menjalinkan hubungan kerjasama untuk kita sama-sama mempromosikan (makanan) jadi memang Malaysia adalah satu tempat destinasi yang bukan sahaja kaya dengan khazanah alam tetapi pada masa yang sama setiap negeri, setiap daerah dan kampung ada keunikan khususnya tentang makanan tempatan masing-masing,” katanya. – PAHANGMEDIA
Sumber: PahangMedia
Add a comment