BERA, 5 JULAI 2025 : Program Fun Run DUN Guai 2025 yang diadakan di Kampung Seberang Guai di sini hari ini berlangsung meriah dengan penyertaan lebih 1,500 peserta dari pelbagai daerah dan negeri.

Program anjuran Majlis Belia Daerah Bera itu pada awalnya mensasarkan 1,000 peserta dari sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai dan Bera, namun ianya turut menarik penyertaan dari negeri lain termasuk Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Selangor dan Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, pihaknya tidak menyangka sambutan yang diterima begitu menggalakkan daripada orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan pada program Fun Run DUN Guai 2025 yang diadakan di Kampung Seberang Guai.

“Alhamdulillah hari ini kita mengadakan Fun Run DUN Guai 2025. Setelah kita mengiklankan dalam media, penyertaan kita boleh kata dari seluruh Malaysia yang hadir. Sasaran (penyertaan) kita adalah seramai 1,000 orang tetapi kita dapat lebih dari itu,” katanya kepada Pahang Media selepas selesai program berkenaan.

Majlis perasmian program itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bera, YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB Tuan Khaizulnizam Mohd Zuldin, Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Encik Saharuddin Ahmad dan Pengerusi Majlis Belia Daerah Bera, Encik Nadzrul Ikmal Naim Faizal Azli.

YB. Dato’ Sabariah turut menyifatkan kejayaan penganjuran program itu sebagai bukti komitmen padu Majlis Belia Daerah Bera dan semua pihak yang terlibat.

“Alhamdulillah (sambutan menggalakkan). Kita memang buat setiap tahun program yang ‘boom’ (mendapat sambutan). Program ini sudah lama kita rancang, hari ini kita berjaya realisasikannya.

“Untuk program akan datang, kita akan bincang dan kita akan rancang apa program yang akan kita buat.

“Kita memang menggalakkan penyertaan golongan muda dan penyertaan pelbagai bangsa. Seperti hari ini kita ada penyertaan dari kaum Cina dan India,” katanya lagi.

Salah satu tarikan utama program kali ini ialah hadiah cabutan bertuah berupa seekor lembu, yang dimenangi oleh seorang wanita dari daerah Temerloh.

“Mungkin mereka berminat (turut serta) kerana hadiah bertuah yang diberikan adalah seekor lembu. Kebetulan yang dapat adalah dari daerah Temerloh, dan seorang wanita,” ujarnya.

Selain acara larian, pelbagai reruai disediakan termasuk Jualan Rahmah, pemeriksaan kesihatan oleh Klinik Bergerak Kasih Makmur yang memberi fokus kepada pemegang kad kesihatan Kasih Makmur, Klinik Tok Wan dan aneka makanan dan minuman.

Sumber: PAHANGMEDIA